0001 Kisah Nabi Zakariya & anaknya Nabi Yahya –

KISAH NABI ZAKARIYA DAN PUTERANYA NABI YAHYA: “SATU PENGAJARAN” REFERASI BUKU KISAH 25 RASUL

Kisah Nabi Zakariya AS dan anaknya Nabi Yahya AS yang tragis amat berkesan dihati orang-orang Muslim dan pencinta Agama Islam. Kedua-dua Nabi ini dibunuh dengan kejamnya angkara perbuatan orang-orang yang anti kebenaran dan melampau. Kisah dua insan yang mulia ini patut dijadikan iktibar. Dalam lipatan sejarah para Rasul dan Nabi seperti yang dijelaskan dalam kitab suci Al-Qur’an; mereka ini merupakan insan yang penuh integriti serta tawaduk dan misi mereka tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menegakkan kebenaran dan memansuhkan kebatilan. Kepasrahan jiwa mereka secara total terhadap Allah SWT amat tinggi dan tidak berbelah bagi. Kesabaran mereka dalam menjalankan dakwah untuk membawa umat mereka ke jalan yang lurus dan diredhai Allah amat luar biasa.

Jika diimbas kembali kisah kedua-dua Rasul Allah ini kita membuat satu konklusi bahwa akibat hasutan syaitan Laknattullah segala akidah dan keimanan satu umat itu boleh tewas dalam sekelip saat sahaja seperti satu petikan api. Nabi Zakariya adalah nabi yang ke dua puloh dua yang diutus oleh Allah dimuka bumi ini. Baginda merupakan bapa saudara kepada Siti Maryam binti Imran; ibu Nabi Isa A.S.  Isteri Nabi Zakariya yang bernama Hannah merupakan saudara kandung ibu Siti Maryam. Baginda tidak mempunyai zuriat sendiri namun berkat kesabaran dan keidakputusasa’an dalam berdo’s ke hadrat Allah S.W.T., Baginda akhirnya di kurniakan seorang anak lelaki yang bernama Yahya ketika usia Baginda dan isterinya sudah lanjut.

Namun dengan kuasa Allah S.W.T yang maha agung dan sifatnya yang maha Rahim, Nabi Zakariya dikurniakan seorang anak. Anak Baginda, Yahya juga diangkat kedudukannya menjadi Nabi dan Rasul diusia yang masih remaja. Setelah Baginda dilantik menjadi Rasul, Nabi Yahya terus masuk ke kota Baitul Maqdis untuk mengajak manusia mengikut ajaran kitab Taurat yang dilegasikan oleh Nabi Musa A.S. Namun ajakan Baginda mendapat sambutan yang amat mengecewakan kerana kebanyakan Bani Israel sudah jauh menyeleweng dari ajaran yang sebenar.

Namun Baginda tidak pernah merasa gementar dan berputus asa walaupun ancaman demi ancaman datang silih berganti dari kaumnya, Bani Israel. Zaman ketika itu, Palestin: diperintah oleh seorang Raja yang bernama Herodos. Dia merupakan wakil kepada Maharaja Rom [ Augustine ] di sebelah Timur dimana kerajaannya berpusat di kota Konstantinople [ Istanbul – di Turki ]. Raja Herodos ini mempunyai keinginan yang diluar tabii apabila mula mencintai dan jatuh hati kepada salah seorang anak saudaranya yang cantik bernama Herodia. Namun keinginan Raja Herodos ditentang habis-habisan oleh Nabi Yahya, anaknda Nabi Zakariya. Semua kerabat sebelah perempuan mempersetujui sepenuhnya keinginan Raja ini. Namun seperti yang disyariatkan ajaran Nabi Musa dalam Kitab Taurat, haram hukumnya menikahi anak saudara sendiri.

Kerana lantangnya suara Nabi Yahya, Herodia mulai merasa gusar dan takut kalau-kalau bapa saudaranya terpengaruh oleh Nabi Yahya dan mulai bimbang jika hasratnya kandas di tengah jalan. Terlalu materialistiknya Herodia  lantas terlintaslah dalam benak fikirannya yang jahat untuk menghapuskan Baginda Nabi. Ibunya pun menghiasi Herodia dengan seindah dan semahal-mahal perhiasan agar kecantikannya dapat mempengaruhi dan memesongkan fikiran si Raja Herodos. Setelah diperhias dengan baju yang bertahtha emas dan permata maka terserlahlah lagi kejelitaan Herodia. Di pesta hadapan raja, maka menari-narilah si gadis untuk menjalankan niat buruknya Kerana amat kagum dan terpesonanya Raja Herodos dengan kegemerlapannya dan kecantikan Herodia, bersuaralah sang Raja.

Dia merisik kepada Herodia kemahuan apa yang dihasratkannya niscya akan dipenuhinya segala kemahuannya. Lantas bersuaralah Herodia dengan penuh exotik  dengan dendam kesumatnya terhadap Nabi Yahya AS  “Aku mahu kepala Yahya diperesembahkan dihadapanmu didalam pinggan ini.”

Raja Herodos memerintahkan para pengawalnya untuk melaksanakan tugasan. Bersegeralah mereka menuju ke Mihrab Baginda yang ketika itu sedang beribadat. Maka dibunuhlah Nabi Yahya dan kepalanya yang sudah disembelih dipersembahkan dihadapan Raja. Alangkah puasnya hati Herodis atas pembunuhan Nabi Yahya yang sangat tidak berperikemanusiaan.

Dari perspektif Islam Nabi Yahya merupakan salah seorang nabi yang mulia disisi Allah SWT. Semuanya ini menjadi satu pengajaran kepada kita bahawa perbuatan sumbang mahram itu adalah sangat jijik disisi Allah dan Allah akan membalas perbuatan ini dengan azab yang amat pedih kelak di Akhirat.

Inilah yang kadang-kadang berlaku ditengah-tengah masyarakat yang membelakangi sifat-sifat norma insani. Bersekedudukan dan perlakuan yang mengaibkan akan membuatkan sesuatu umat atau bangsa itu runtuh akhlak serta pedoman hidup dan mereka akan dilenyapkan dari muka bumi ini oleh Allah SWT.  Maka akan digantikan dengan umat atau kaum yang lebih baik daripada mereka. Ini juga digambarkan dengan kisah-kisah kaum ‘Ad dan T’samud didalam kitab suci Al-Qur’an yang membelakangi ajaran-ajaran yang lurus dibawa oleh para Nabi dan Rasul.

Berbalik kita kepada kisah Nabi Yahya tadi. Setelah pembunuhan putera Baginda, para penyokong Raja Herodos berpergian untuk membunuh bapa Nabi Yahya pula. Maka bersegeralah mereka ke kediaman Nabi Zakariya untuk menjalankan misi berikutnya. Namun dengan kuasa Allah SWT Malaikat Jibril diperintahkan untuk mengkabarkan niat jahat mereka kepada Nabi Zakariya. Baginda terus lari untuk menyelamatkan diri ke hutan. Pengikut-pengikut Raja Herodos mula mengepung sehingga Baginda terhenti di sebatang pokok yang besar. Baginda terus berdo’a meminta pertolongan dari Allah SWT agar diselamatkan. Dengan mukjizat Allah, pokok itu terbuka dan mempersilakan Nabi Zakariya masuk bersembunyi didalamnya. Tapi syaitan Laknatullah sempat menarik tepi hujung baju gamis Baginda sehingga ternampak tepian gamis disepitan kayu itu apabila tertutup semula.

Setelah Nabi Zakariya selamat bersembunyi didalam pokok itu, para pengejar tadi terpingga-pingga dengan kehilangan Baginda sekelip mata. Kerana memang sifat syaitan yang membenci manusia, berpura-puralah ia menjelma menjadi seseorang dan memberi tahu tentang cebisan kain yang ternampak dicelah pokok tempat persembunyian Nabi Zakariya. Dengan tipu helahnya serta dorongan nafsu para pengejar tadi diajarkanlah oleh syaitan untuk mengergaji pokok itu. Dengan menahan kesakitan yang teramat sangat wafatlah Nabi Zakariya A.S. dengan badannya terbelah dua akibat digergaji oleh para pelaknat tadi. Begitu tragisnya kewafatan kedua-dua nabi si ayah dan puteranya hingga diterangkan dalam al-Qur’an betapa jahatnya niat orang-orang yang mendustai ajaran yang lurus dan berpaling dariNya. Namun atas balasan perbuatan para pengikut-pengikut yang mendustai Allah dan membantah sekeras-kerasnya keesaan yang maha kuasa itu tadi; akhirnya mereka semua ditelan bumi dan mati. Semua ini adalah sebagai pengajaran kepada kita dan kita selaku Khalifah di muka bumi ini mempunyai tanggung jawab yang mesti diseleraskan seelok-eloknya.

Kisah Nabi Zakariya dan puteranya Nabi Yahya yang dibunuh dengan kejam akibat kefasikan Bani Israel mengajar kepada kita supaya berani tampil ke hadapan demi menegakkan kebenaran meskipun teramat payah untuk dilakukan. Kedudukan sosial, wang ringgit, keluarga, nyawa dan masa kita mungkin terancam dalam menegakkan kebenaran. Tapi percayalah dengan pertolongan yang maha Esa serta do’a yang tidak putus-putus dipanjatkan segala yang batil akan tewas. Kebenaran juga akan menonjol tidak kira lambat atau pantasnya sesuatu itu tercapai.

WALLAHUALAM BISSAWAB

ERTI PERKATA’AN :

Mihrab – sebuah ceruk dalam Mesjid menunjukkan ke arah Kiblat

nabi zakariya dan anaknya

Adverts below are automatically generated and unintentional. Pls browse wisely as some of the pictures or videos can be quite unpleasant  to view –

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s